Skip to main content
x

AHLI YGMB TERJEJAS BANJIR DIGESA TUNTUT WANG KEBAJIKAN

BUKIT MERTAJAM, 29 Disember 2017- Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyeru semua ahlinya yang terlibat dalam kejadian banjir di negeri ini, Perlis, Kedah dan Pantai Timur baru-baru ini supaya membuat tuntutan wang kebajikan daripada badan itu dengan segera.

Pemberian sumbangan kebajikan secara tunai menerusi akaun penerima akan diberikan kepada ahli yang berdaftar dengan YGMB sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya mengalu-alukan permohonan daripada semua ahli yang terjejas dalam bencana banjir di negeri-negeri terlibat untuk menerima sumbangan kebajikan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 40 permohonan faedah bencana tersebut terdiri dalam kalangan guru dan pesara guru di Pulau Pinang telah menerima sumbangan kebajikan yang diadakan dalam satu majlis di SJK (C) Kim Sen di Bukit Mertajam hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin. "Penerima terdiri daripada 40 ahli yang merupakan mangsa banjir teruk yang berlaku di lima daerah negeri itu pada 4 November lalu," katanya di sini.

Mengikut rekod, seramai 100,000 ahli terdiri dalam kalangan guru di seluruh negara telah berdaftar dengan YGMB.