Skip to main content
x

ALIMUDDIN PRO CANSELOR BAHARU UPSI

TANJUNG MALIM 24 Oktober 2017: Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dilantik Pro Canselor baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pelantikan beliau sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-19, yang berlangsung tiga hari, bermula hari ini. Alimuddin menggantikan Tan Sri Yahaya Ibrahim yang tamat pelantikan pada Ogos lalu.

Majlis penyerahan watikah pelantikan disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim selaku Canselor UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, di sini.

Lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Pentadbiran Pendidikan itu memperoleh Sarjana Pendidikan pada 1989.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru pada 1976 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri, Changkat Jering, Taiping, Perak.

Alimuddin yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan pada Julai 2007, bersara pada 6 November 2010 selepas menyumbang bakti kepada negara dan bangsa selama hampir 35 tahun.

Sumber: Berita Harian